Aug 17, 2022 - FASPasukan Selangor FC akan meneruskan saingan Liga Super 2022 minggu ke-17 dengan menentang Terengganu FC (TFC) hari ini jam 9 malam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Pertemuan ini merupakan perlawanan pertama skuad Gergasi Merah di bawah kendalian Pemangku Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil yang baru diumumkan pada 9 Ogos yang lalu.
Pemangku Ketua Jurulatih kelahiran Selangor ini mengatakan perlawanan menentang Sang Penyu malam ini bukanlah misi balas dendam tetapi misi mendapatkan tiga mata.
"Pasukan dah bagi sehabis baik semasa menentang TFC dalam perlawanan Separuh Akhir Piala FA yang lalu tetapi tapi kita terpaksa akur dengan kekalahan penalti. Menariknya sukan bola sepak adalah kita ada peluang lain untuk buktikan semula kelebihan pasukan. Bukanlah misi balas dendam akan tetapi kita perlu dapatkan tiga mata maksimum walau apa juga situasinya. Oleh itu, saya dan barisan jurulatih telah persiapkan pasukan di prestasi terbaik mereka.
Kejayaan menjadi penanda aras untuk Selangor FC, jadinya kita cuba pastikan semua pihak berikan seratus peratus untuk peminat kerana saya yakin mereka pun mahukan rekod yang baik menentang TFC. Kita akan sebaik mungkin cuba untuk mendapatkan keputusan yang terbaik pada malam ini," kata Nidzam.
Baca lebih lanjut tentang perasaan Nidzam Jamil dilantik sebagai Pemangku Ketua Jurulatih di sini.
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Liga Super hari ini, pasukan Selangor FC hanya tidak dapat menurunkan Safuwan Baharudin yang masih dalam pemulihan akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’.
Selangor FC mengucapkan selamat berjaya kepada Nidzam Jamil untuk perlawanan pertamanya pada malam ini dan mendoakan kejayaan pasukan! Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!